Halangan Melaksanakan Projek
Tarikh Kemaskini : 12 Julai 2022
Pengurusan masa yang baik dapat mengurangkan stres atau tekanan (Mackenzie, 1997 & Douglass, 1998). Ini adalah kerana kebanyakan punca-punca stres adalah berkaitan dengan masa. Kebiasaannya stres sering wujud apabila pelajar tidak dapat melakukan tugas-tugasnya mengikut tarikh akhir yang ditetapkan. Allock (1996) menyatakan bahawa setiap hari setiap individu pasti ada menetapkan atau menyetujui tarikh akhir. Masalah dengan tarikh akhir ialah sama ada individu tidak realistik secara menyeluruh atau bersetuju dengan tarikh akhir tanpa memikirkan implikasinya. Hal ini boleh menimbulkan ketegangan jika pelajar tidak mampu menyelesaikan kerja mengikut tarikh akhir yang telah ditetapkan (Hamizatun Akmal Md Yusof & Norzaini Azman. 2013).
Antara halangan projek ini dilaksanakan ialah jadual ahli kumpulan yang berbeza. Kami merupakan pelajar yang sedang mengikuti pengajian secara hujung minggu di UKM. Oleh itu, kami mempunyai masa kerja yang berbeza di antara satu sama lain. Oleh itu, sangatlah mencabar untuk kami mencari masa yang sesuai untuk berbincang berkenaan kemajuan kerja projek. Ada ketika apabila ahli kumpulan bertanya kepada ahli kumpulan di dalam kumpulan whatsapp, ahli kumpulan yang lain memberi respon agak lambat dan ini menyebabkan banyak proses menjadi tertangguh. Perkara ini boleh diatasi pada masa hadapan dengan menetapkan masa-masa yang tertentu untuk berbincang pada masa hadapan. Oleh itu setiap ahli kumpulan akan bersedia dengan idea dan bahan-bahan yang diperlukan untuk memantapkan lagi projek yang akan dijalankan.
Selain itu, kumpulan kami berhadapan dengan pertukaran tajuk
projek service learning yang akan dijalankan. Ini adalah kerana tajuk projek
pertama kami iaitu Bengkel MyIqra : Makhraj Huruf mempunyai kos perbelanjaan
sebanyak RM300. Oleh itu pensyarah mencadangkan supaya kami mencari tajuk baru
dengan mengetengahkan dan meneroka bakat ahli kumpulan sendiri untuk menjalankan
service learning. Apabila proses ini berlaku, sedikit sebanyak ia telah
mengganggu perjalanan kerangka masa/timeline yang telah dirancang pada awal
projek. Oleh itu, kami perlu bergerak cepat dan pantas supaya kami tidak
terlalu jauh daripada kumpulan lain. Pada masa akan datang, ahli kumpulan perlu
membuat analisis SWOT tentang kelebihan dan kelemahan setiap tajuk yang
dicadangkan untuk mengelak masalah ini berulang kembali.
Kami juga berdepan dengan kesukaran untuk mendapatkan bilik
latihan komputer pada peringkat awal. Ini adalah kerana bilik tersebut sentiasa
penuh dengan latihan-latihan yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.
Walaubagaimanapun dengan bantuan Pengarah Bahagian kami, En. Zainuddin bin
Ahmad, kami dapat menyelit masa untuk menjalankan bengkel tersebut pada masa
yang ditetapkan. Oleh itu kami melihat diplomasi dan sikap bertolak ansur juga
sangat penting pada dalam menghadapi situasi yang memerlukan. Setiap anggota
tidak kira bawahan atau atasan memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan setiap perancangan
berjalan mengikut masa yang ditetapkan.
Terima kasih admin kerana berkongsi sama pengalaman tentang pengurusan masa😊
ReplyDelete