Analisis SWOT & Refleksi Kumpulan
Berikut merupakan Analisis SWOT & Refleksi Kumpulan (https://anyflip.com/nfisq/atfb/)
Pengenalan
Pengurusan masa yang
baik adalah apabila kita jelas dengan setiap aktiviti yang kita laksanakan
mengikut pelan rancangan yang telah ditetapkan. Apabila kita jelas tentang
penggunaan masa yang terbaik, kita menjadi lebih fokus dan produktif.
Pengurusan masa yang baik membantu kita mencapai matlamat yang lebih besar,
mengurangkan penangguhan dan meningkatkan produktiviti. Melalui pelaksanaan
projek yang dilakukan oleh kumpulan ini, kami cuba untuk menguruskan masa
dengan baik, lebih produktif, lebih cekap serta memenuhi tempoh dan tarikh yang
ditetapkan atau lebih berkemungkinan bagi memenuhi tarikh akhir projek. Oleh
itu, kami cuba memberi tumpuan kepada tugas yang paling penting dan sensitif serta
mengehadkan jumlah masa yang terbuang untuk tugas yang tidak penting.
Pemilihan
tajuk projek Bengkel KnowMe Excel : Tips
and Trick pula dilihat sangat bertepatan pada masa kini. Dengan tuntutan
kerja yang mendesak setiap individu yang bekerja, kami ingin memberikan peserta
peluang untuk memahami kemahiran yang mudah dan ringkas di dalam Microsoft
Excel tetapi pada masa yang sama sangat berguna untuk diimplimentasikan dalam
kerja seharian. Ini secara tidak langsung dapat menjimatkan masa mereka
mengadap lembaran Excel dengan terlalu lama kerana terbiasa menggunakan
kaedah-kaedah lama yang terlalu asas di dalam aplikasi Microsoft Excel tersebut.
Beberapa kajian
mendapati bahawa peratusan besar pekerjaan berkemahiran sederhana memerlukan
sekurang-kurangnya asas pemahaman terhadap lembaran Excel ini, dan beberapa
kemahiran tahap lanjutan. Hasil pemerhatian kami di pejabat, terdapat ramai
graduan muda yang baru bekerja hanya mempunyai asas di dalam Ms Excel dengan
pengetahuan serta kemahiran yang sangat terbatas. Umum mengetahui Jabatan
Perangkaan Malaysia (DOSM) adalah sebuah jabatan kerajaan yang terlibat dalam
pelaksanaan banci dan survei. Data-data yang dikutip akan dianalisis dan
pegawai yang bekerja di DOSM perlulah mempunyai kemahiran sekurang-kurangnya
dalam Microsoft Excel. Jika mereka mempunyai kemahiran menggunakan aplikasi
lain seperti SPSS, SAS dan sebagainya, itu adalah kelebihan bagi pegawai
tersebut.
Peristiwa-Peristiwa Penting
Di awal sesi
perbincangan, kami merasakan projek bersama komuniti yang paling digemari oleh
masyarakat di Malaysia, khususnya di tempat tinggal kami adalah projek yang
berlandaskan agama. Maka dengan itu tercetuslah idea untuk melaksanakan bengkel
Makhraj Huruf pada asalnya untuk memberi pendedahan kepada komuniti bagaimana
cara membaca kitab Al-Quran dengan betul dan sempurna. Namun hasil perbincangan
selanjutnya bersama pensyarah kami, Dr Fatin Hazwani menjelaskan sebaiknya kami
menggunakan kelebihan yang ada dalam diri kami daripada menggunakan
perkhidmatan pihak luar.
Dua daripada ahli
kumpulan ini merupakan pegawai yang bertugas di DOSM dan kami melihat keperluan
yang penting dalam memahami penggunaan Excel dalam rutin kerja seharian anggota
di DOSM tersebut. Tatkala proses temuduga dibuat untuk jawatan MySTEP, antara
yang wajib ditanya adalah tahap kemahiran penggunaan Excel ini. Rentetan daripada
itu, timbullah idea untuk melaksanakan bengkel Microsoft Excel ini memandangkan
beberapa ahli kumpulan kami mempunyai kemahiran yang luas dalam penggunaan
Excel tersebut.
Tarikh pelaksanaan
bengkel yang dipilih iaitu 13 dan 14 Jun 2022 adalah disebabkan terdapat
kekosongan bagi bilik latihan dan kami membuat tempahan ke atas Bilik Latihan
Komputer pada tarikh tersebut. Ia merupakan tempat yang sesuai untuk menampung
kapasiti peserta dan mempunyai alat bantu mengajar yang lengkap untuk kegunaan
kami seperti projektor, sistem audio, mikrofon dan sebagainya.
Pengalaman
Pembelajaran
Kesan daripada perubahan tajuk,
penyusunan cadangan semula projek menyebabkan perancangan menjadi sedikit
tergendala. Mujurlah tempoh masa sesi pembelajaran semester ini adalah cukup, membuatkan
kami mampu menyusun semula kerangka kerja projek kami dengan garis masa yang
sesuai dan sepadan. Menjadi pelajar yang juga merupakan pekerja sepenuh masa
menyebabkan setiap daripada ahli kumpulan mempunyai limitasi yang tertentu dan
terbatas. Kami cuba memenuhi tuntutan masa yang sangat terhad ini untuk
melakukan perbincangan sama ada melalui aplikasi Whatsapp ataupun bermesyuarat
secara atas talian menggunakan platform Microsoft Teams.
Pandemik Covid-19 telah mengubah cara dan
ruang kita bekerja serta ketika menuntut ilmu. Oleh itu, kami memanfaatkan
segala masa yang ada untuk melaksanakan tugasan yang dibahagikan dengan sebaik
mungkin dan berbincang semula jika terdapat halangan atau perubahan di saat
akhir. Seorang daripada ahli kumpulan menarik diri daripada subjek ini atas
urusan keluarga menyebabkan berlaku penyusunan semula jadual kerja namun ia
tidak merencatkan pelaksanaan projek yang telah dirancang. Kita perlu sentiasa
bersedia sekiranya berlaku sebarang perubahan saat akhir.
Pengalaman melaksanakan bengkel MS
Excel di DOSM adalah sesuatu yang istimewa, memberikan value added
kepada diri kami sebagai moderator dan urusetia bengkel tersebut. Di setiap
agensi kerajaan, sesi yang sebegini dipanggil Knowledge Sharing Session
atau KSS. Maka kami mengambil pendekatan yang hampir sama, memberikan latihan
kepada komuniti DOSM yang terpilih untuk menyertai bengkel ini, cuma sesi KSS
kebiasaannya hanya melibatkan sesi satu hala, atau sesi dua hala tanpa hands-on atau latihan kepada peserta.
Melalui sokongan daripada Pengarah Kanan Bahagian Perangkaan Perkhidmatan,
tiada sebarang halangan yang diterima untuk kami melaksanakan bengkel seperti
ini di DOSM selagi ia tidak melibatkan kos tambahan kepada Jabatan dan tidak
menyalahi etika kerja yang ditetapkan.
Analisis
SWOT
Menerusi analisis SWOT, kita dapat menganalisa faktor
kekuatan, kelemahan, ancaman serta peluang yang diperolehi bagi pengukuhan
projek kumpulan. Elemen-elemen yang dianalisa adalah seperti berikut:
Kekuatan Dalam Pelaksanaan Projek
Ketika pelaksanaan projek ini, kekuatan
kumpulan kami dapat membuktikan keupayaan menguruskan masa dengan efisyen dan
efektif. Tahap kesiapsiagaan setiap ahli kumpulan menjadi cerminan kepada
kejayaan melaksanakan projek ini. Seperti yang dimaklumkan mengenai pertukaran
projek mengikut nasihat daripada Dr. Fatin Hazwani, kami mengambil tindakan
pantas untuk melaksanakan projek bengkel MS Excel ini, kerana ahli kumpulan
kami mempunyai kemahiran dalam penggunaan Microsoft Office terutama MS Excel.
Selain itu, kami juga mempunyai kelebihan untuk menggunakan fasiliti untuk
mengadakan latihan iaitu di tempat kerja sendiri tanpa sebarang halangan serta
lengkap dengan alat bantu mengajar di situ. Tunjang kekuatan projek ini adalah
melalui perancangan yang tersusun dan strategik dalam tempoh yang singkat.
Kelemahan-Kelemahan Semasa Menjalankan Tugasan
Kelemahan projek ini adalah tempoh masa
yang singkat dalam pelaksanaan serta terbatas. Inilah yang menyebabkan kami
mengambil keputusan untuk mensasarkan kelompok peserta yang boleh mengikut
bengkel ini. Dalam fasa endemik ini, kami masih perlu berhati-hati dan tidak
boleh menawarkan penyertaan yang ramai kerana masih terdapat penyebaran wabak
Covid-19. Selain itu, dalam pelaksanaan projek ini, terdapat kesukaran
berkomukasi dengan pantas disebabkan kami masih berhubung secara online,
kekangan kerja serta jadual kerja kami berbeza. Respon yang diberikan sesama
ahli kumpulan juga agak lambat menyebabkan proses kerja menjadi tertangguh. Walau
bagaimanapun, tugasan ahli kumpulan dilihat tidak seimbang, namun kami cuba
mengurangkan kelemahan ini sebaiknya. Selain itu, pemilihan tajuk projek agak
tersasar pada awalnya kerana kami terlewat mengenalpasti bahawa kami mampu
melaksanakan projek ini tanpa penglibatan pihak luar.
Peluang
dan Ancaman
Meninjau
peluang yang diperoleh daripada projek ini, kami dapat memberikan pendedahan
kepada penggunaan MS Excel, kita dapat mengetahui elemen tips and tricks di
dalam MS Excel bagi memudahcara penggunaannya. Kemahiran Excel ini secara
asasnya turut dipelajari di universiti, tetapi penggunaannya tidaklah begitu
menyeluruh serta penting, namun sangat penting bagi anggota di Jabatan
Perangkaan Malaysia. Terdapat kursus Microsoft Office Asas yang ditawarkan di
Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM), Sungkai Perak, tetapi kursus ini
tidak ditawarkan kepada anggota MySTEP serta silibusnya terlalu asas cukup
sekadar pengetahuan untuk menggunakan dan diaplikasi di tempat kerja. Oleh itu,
kami juga dapat bekerjasama antara DOSM serta anggota MySTEP untuk meningkatkan
mutu perkhidmatan melalui latihan.
Pelaksanaan
bengkel seperti ini turut menjadi peluang kepada kami untuk memantapkan diri
sebagai pengajar dalam service learning
atau e-service learning di masa akan
datang. Peluang yang terbaik dalam pelaksanaan bengkel ini adalah tiada melibatkan
sebarang kos. Bengkel seperti ini boleh dilaksanakan berulang kali pada tempat
yang sesuai atau secara atas talian tanpa melibatkan belanjawan yang khusus. Kami
juga sedia maklum apabila melibatkan pihak luar sebagai moderator atau tenaga
pengajar, maka terdapat kos-kos tambahan yang perlu disediakan sedangkan kami
boleh melaksanakan sendiri satu projek kendalian kami tanpa sebarang kos.
Jika
dilihat dari segi ancaman pula, ia lebih kepada halangan yang dihadapi atau mungkin
boleh terjadi ketika melaksanakan bengkel ini. Di antara ancaman yang dihadapi
ketika projek ini adalah apabila seorang ahli kumpulan terpaksa menarik diri atas
faktor keluar menyebabkan kami perlu menyusun semula tugasan serta kerja-kerja
kumpulan yang tertunda. Tempat untuk melaksanakan bengkel juga menjadi ancaman
kepada kami apabila kami mula berdiskusi sama ada perlu dibuat secara atas
talian atau secara bersemuka. Mencari tempat latihan yang sesuai juga agak
sukar untuk disesuaikan dengan tarikh yang dirancang disamping ketika kita
masih di fasa endemik Covid-19, kami terpaksa menghadkan penyertaan sebagai
langkah berjaga-jaga. Selain itu, terdapat juga peserta yang kurang pengetahuan
asas dalam penggunaan MS Excel yang sedikit sebanyak melambatkan proses latihan
hands-on kerana mereka merupakan
anggota yang baru dilantik dan masih dalam proses pembelajaran cara kerja
tetapi mereka inilah yang menjadi keutamaan kami untuk diberikan latihan yang
sesuai.
Langkah-Langkah
dan Cadangan Penambahbaikan
Kami merasakan terdapat beberapa perkara
yang perlu diperhalusi sebagai strategi pengukuhan kepada projek kumpulan
ini. Bengkel ini dilihat dapat
diperluaskan kaedah penyampaiannya kerana kami mengunakan kaedah service learning dalam projek ini dan
kaedah e-service learning juga sama
berkesan untuk dipraktikkan serta turut mampu meningkatkan hasil perkembangan
pelajar. Seperti yang telah dijelaskan, sasaran peserta kami adalah anggota
MySTEP di DOSM yang terlibat secara langsung dengan penggunaan MS Excel ini,
maka bengkel kami difokuskan untuk membantu mereka dalam memudahkan urusan
kerja seharian mereka.
Oleh
itu, melalui pengalaman kami melaksanakan program ini, molek benar sekiranya
bengkel ini dilaksanakan secara berterusan dengan mensasarkan kepada golongan
pelajar di universiti disamping memberi pendedahan kepada mereka terhadap
bentuk analisis yang digunakan di beberapa agensi kerajaan atau badan swasta
dengan menggunakan lembaran Microsoft Excel.
Bagi
meningkatkan mutu kemahiran masyarakat setempat melalui pendidikan sepanjang
hayat, e-service learning bengkel MS
Excel ini juga boleh dilaksanakan kepada mereka yang berniaga kecil-kecilan
atau mereka yang di peringkat start-up
dalam perniagaan untuk membantu mereka membangunkan pangkalan data rangkaian
hubungan perniagaan mereka atau menyediakan akaun syarikat yang ringkas dan
mudah.
Kami
juga merasakan keperluan untuk memanjangkan bentuk latihan dalam bengkel
seperti ini melibatkan Microsoft Office yang lain seperti MS PowerPoint yang
dilihat turut berguna kepada mahasiswa muda supaya mereka diberikan pendedahan mengenai
ciri-ciri format persembahan yang sesuai dan bertetapan dengan konsep dan
budaya korporat, iaitu ringkas tetapi padat, kombinasi warna atau pengunaan tona
pada templat yang sesuai dan tidak kelihatan seperti badut serta berkonsep
videografik yang lebih digemari pada masa kini.
Kesimpulan
Melalui
laporan refleksi ini, kami ingin menyimpulkan beberapa perkara dari segi
pengurusan masa, analisis SWOT serta projek service
learning ini. Analisis SWOT ialah rangka kerja yang mudah tetapi berguna
untuk menganalisis kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman yang dihadapi dalam
kumpulan kami. Sedikit sebanyak ia membantu kami menumpukan pada kekuatan,
meminimumkan ancaman dan memanfaatkan peluang yang tersedia untuk kami dengan sebaik
mungkin. Kita tidak seharusnya menyerah kalah dengan kesilapan atau kelemahan serta terbeban dengan masalah. Tugas ahli
kumpulan akan sentiasa melengkapi bagi menyelesaikan projek ini dengan jayanya.
Masa adalah sumber berharga yang
memerlukan pengurusan yang teliti, kerana ia boleh membantu untuk mendapatkan
kawalan yang lebih baik ke atas pelaksanaan projek ini. Walau bagaimanapun,
pemahaman tidak mencukupi untuk memperoleh kawalan penuh dari semasa ke semasa,
maklumat dan niat harus diubah menjadi tindakan. Walaupun kami merasakan ada
masa yang cukup untuk mencapai sasaran ke atas perancangan kami, namun tetap
ada sesuatu halangan yang membatasi usaha dan keberhasilannya. Dalam erti kata
lain, kami semua masih mempunyai perjalanan yang panjang untuk menguasai kemahiran
pengurusan masa dan pembelajaran kali ini mendidik kami untuk lebih cekap dalam
menguruskan masa agar lebih proaktif dan produktif.
Akhir sekali, mengupas mengenai projek
kumpulan iaitu Bengkel KnowMe Excel : Tips and Trick ini. Impaknya sangat positif,
kerjasama ahli kumpulan yang padu, bengkel berlangsung dengan baik, peserta
memberikan respon yang baik seperti yang diminta. Mungkin kami boleh meniti
peluang di masa akan datang untuk melakukan bengkel yang sama dengan input yang
berbeza dengan memberi peluang kepada mereka yang sangat memerlukan arahan yang
pantas dalam MS Excel ini bagi memudahcara kerja analisis yang kompleks. Bagi
memupuk penghargaan terhadap kepelbagaian budaya dalam norma kerja yang baru, service learning atau e-service learning dapat membantu
memupuk pemahaman, penghargaan dan keupayaan yang lebih besar dalam diri kami
sebagai pelajar untuk berhubung dengan orang dari pelbagai latar belakang dan
situasi kehidupan. Ia memberi peluang terutamanya kepada belia bukan sahaja
untuk mendekati orang lain tetapi juga untuk memahami nilai perbezaan antara
individu dan masyarakat. Akhir kata, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan
dapat sagunya.

Analisis SWOT sangat penting dalam melaksanakan projek. Terima kasih admin berkongsi pengalaman semasa laksanakan bengkel tips and tricks ni👍🏻
ReplyDeleteTerbaik dan teruskan kreatif
ReplyDelete